Warga Emas 101 Tahun Urus Anak OKU Meninggal Dunia
Meliah Md Diah yang tidak mengalami sebarang penyakit kronik meninggal dunia kira-kira pukul 3.30 pagi di sisi anak lelakinya itu, Abdul Rahman Saud, 63, selepas mengadu sesak nafas.
Anak saudaranya Siti Jaleha Yunus, 59, berkata, ibu saudaranya itu mengadu sesak nafas kira-kira pukul 7.30 malam ketika berada dirumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah anak saudaranya itu.
Katanya, bimbang mengenai keselamatan warga emas itu, keluarganya mengambil keputusan membawa dua beranak itu untuk tinggal bersama mereka bagi memantau keadaan kesihatan Meliah.
"Allahyarham menghembuskan nafas terakhir ketika berada di sisi anaknya.
Kami sudah beritahu Abdul Rahman mengenai ibunya. Walaupun dia OKU tetapi dia faham dan mendiamkan diri sahaja," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
Gambar Meliah yang sedang memangku dan mencium anaknya yang disiarkan oleh Bernama baru-baru ini menjadi viral di laman sosial sehingga memperoleh lebih daripada sejuta 'Like'.
Siti Jaleha berkata, jenazah Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Nambua kira-kira pukul 3.30 petang ini.
Katanya, ibu saudaranya itu sempat menyuapkan makanan terakhir iaitu nasi goreng kepada Abdul Rahman.
Suri rumah yang mempunyai lima orang anak itu berkata selepas ini, mereka sekeluarga akan menjaga Abdul Rahman sama seperti mana Meliah menjaganya sehingga akhir hayatnya.
"Kalau saya meninggal dunia terlebih dahulu anak-anak saya akan menjaga Abdul Rahman. Sebelum ini Allahyarham pernah berpesan untuk jaga anak istimewanya itu sekiranya dia pergi terlebih dahulu menghadap Maha Pencipta," katanya.
Meliah yang kematian suami 20 tahun lalu, berseorangan menjaga anak lelakinya yang cacat anggota badan akibat diserang sawan sejak kecil lagi.
Abdul Rahman yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu hanya terbaring dan tidak boleh bercakap serta memerlukan bantuan orang untuk makan, mandi dan bergerak. - Bernama
Post a Comment